Tanggal 9 Januari 2014 pasti dinanti dengan penuh debaran oleh pelakon dan penerbit terkenal, Datuk Rosyam Nor yang muncul dengan filem terbaru Balistik terbitan syarikatnya, RK Screen Sdn Bhd.
Bukan sekadar bertindak sebagai penerbit, Rosyam yang turut menyumbang tenaga sebagai teraju utama filem aksi itu amat berharap filemnya itu mendapat sambutan hangat.
Turut menjalin usaha sama dengan produksi Asia Tropical Film Sdn Bhd (ATF) selaku penerbit bersama, Balistik yang bermaksud ‘kelajuan peluru’ mendapat sentuhan pengarah terkenal, Silver Chung.
Silver yang cukup dikenali penggiat seni Cina tempatan sebelum ini pernah menjalin kerjasama dengan Rosyam dalam mengarahkan drama penyiasatan CID 3278 untuk tayangan TV9, tujuh tahun lalu.
Silver yang cukup dikenali penggiat seni Cina tempatan sebelum ini pernah menjalin kerjasama dengan Rosyam dalam mengarahkan drama penyiasatan CID 3278 untuk tayangan TV9, tujuh tahun lalu.
Rosyam pada sidang media selepas sesi pratonton filem Balistik di e@Curve, Mutiara Damansara kelmarin berkata, penghasilan filem aksi yang mengangkat tema gengsterisme dengan dikukuhkan oleh suntikan drama dan kasih sayang itu adalah cetusan idea bersama di antara beliau dan Silver.
Katanya, selepas terbabit dalam drama CID 3278, beliau dan Silver sepakat untuk meneruskan jalinan kerjasama mereka untuk karya layar perak pula menerusi satu naskhah filem aksi yang mengetengahkan kelainan kepada penonton.
“Ketika itu, saya dan Silver turut berganding bahu mencari syarikat produksi tempatan yang sudi bekerjasama dengan kami untuk merealisasikan naskhah Balistik menjadi sebuah filem.
“Sayangnya usaha kami pada masa itu tidak mendapat perhatian dan boleh saya katakan sebanyak tujuh syarikat produksi yang ditemui menolak untuk bekerjasama menghasilkan filem ini.
“Namun, berbekal semangat gigih dan tidak mengenal erti putus asa, kami berdua tetap meneruskan usaha untuk memastikan filem Balistik ini dapat dihasilkan. Syukur, berkat kesabaran itu membawa hikmah apabila pihak produk ATF sudi bekerjasama,” katanya.
Siap dihasilkan sepenuhnya kira-kira dua tahun lalu, sekali lagi Rosyam berhadapan dengan dugaan besar apabila beliau sendiri tidak yakin dengan populariti dirinya untuk memastikan filem itu diterima baik penonton.
Enggan bersikap terburu-buru, Rosyam membuat keputusan ‘menyimpan seketika’ Balistik sehingga tiba masa yang sesuai.
Justeru, beliau mengambil peluang menerima tawaran membintangi filem KL Gangster 2 arahan Syamsul Yusof.
Ternyata kehebatan Rosyam di layar perak masih berbisa apabila karakter Tailong lakonannya KL Gangster 2 berjaya mencetuskan fenomena yang mana namanya kembali mendapat perhatian daripada penonton generasi baru.
Bangkit dengan penuh keyakinan, ditambah sokongan padu diperoleh daripada penerbit filem terkenal tanah air, Datuk Yusof Haslam yang banyak memberikan galakan kepada Rosyam untuk beralih arah mencuba nasib menerbitkan filem maka Balistik menjadi taruhan.
Menggandingkan barisan pelakon hebat dalam kalangan Melayu dan Cina, Balistik sudah digarap sebaik mungkin oleh Silver.
Bahkan, ia diadun dengan olahan cukup menarik yang memuatkan elemen permainan emosi, kasih sayang, kekeluargaan, persahabatan dan kecintaan terhadap keamanan negara.
Rosyam gembira Balistik yang menelan kos RM2.5 juta itu dihasilkan dengan begitu baik dan mantap oleh Silver.
Kini katanya, terpulang kepada penonton untuk menerima dan membuat penilaian.
“Apa yang boleh saya katakan, Balistik ada kelainan tersendiri. Ia bukan saja padat dengan aksi tetapi diperkuatkan dengan penceritaan drama menerusi permainan emosi.
“Selain pembangunan watak dan plot cerita yang digarap kemas, ia juga menampilkan bentuk lakonan yang matang dan tenang. Bahkan dalam pengucapan dialognya juga tenang serta ke arah kedewasaan dan tiada yang terjerit-jerit,” katanya.
Mengenai dirinya yang sebelum ini cukup sinonim melakonkan watak romantik, Rosyam berkata, dalam usia yang sudah pun mencecah lewat 40-an, membintangi filem percintaan adalah tidak sesuai.
Beliau sentiasa mahu mempersembahkan lakonan terbaik serta impian menjadi anak seni serba boleh dengan pelbagai watak dilakonkan, Rosyam memaklumkan pada usianya kini, filem genre aksi adalah paling sesuai untuk dibintanginya.
Selain Rosyam yang melakonkan watak Saga, pelakon lain yang membintangi filem Balistik ialah Rita Rudaini sebagai Salena, Adi Putra (Nizam), Jack Lim (Jack), Gan Mei Yan, Jeff Chin, Jason Phang, Datuk Rahim Razali, Marissa Yasmin, Fimie Don dan pelakon kanak-kanak berbakat, Rykarl Iskandar (Rykarl).
Turut ditayang di Singapura, Brunei
Menyimpan impian untuk buah tangan terbarunya yang padat dengan aksi itu berjaya meraih kutipan pecah panggung bagi pembukaan tirai 2014, Rosyam sebagai penerbit berharap Balistik dapat mencatat jualan tiket sebanyak RM5 juta.
Katanya, semoga penonton Melayu dan Cina tempatan dapat menerima karyanya dan memberikan sambutan yang baik.
Ujar Rosyam, Balistik ternyata bukan karya untuk masyarakat Melayu semata-mata, tetapi ia sesuai ditonton oleh pelbagai kaum.
Dijangka akan ditayangkan di 90 pawagam di seluruh negara termasuk negara jiran, Singapura dan Brunei, Balistik juga dalam proses perbincangan untuk mendapat kelulusan penayangan di Hong Kong, China dan Taiwan.
Seiring dengan realiti kehidupan rakyat Malaysia yang majmuk ini, Balistik adalah cermin kepada perpaduan kaum di bawah bendera 1Malaysia yang bersatu padu.
Balistik mengetengahkan kisah hebat mengenai perjalanan hidup Saga (Rosyam) yang memilih jalan hidup menjadi seorang pembunuh upahan profesional.
Mendirikan rumah tangga dengan Salena (Rita), rakannya yang membesar bersama di rumah anak yatim, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Rykarl. Pun begitu, akibat satu insiden tidak disengajakan, Saga menghilangkan diri bersama anaknya selepas mencederakan Salena.
Enam tahun berlalu, Salena muncul semula dalam hidup Saga dan Rykarl. Bahkan, kemunculan Salena itu juga bertujuan untuk menuntut haknya sebagai ibu kandung Rykarl.
Pada masa sama, Saga menjadi buruan kumpulan gengster dan kongsi gelap termasuk pihak polis. Salena yang sudah berkahwin dengan seorang anggota polis, Inspektor Nizam (Adi) turut menggugat ketenteraman hidup Saga.
Semua konflik dan krisis dalaman di antara Saga, Salena dan Nizam ada jawapannya dalam Balistik. Bahkan, apakah yang membuatkan Saga sanggup memilih jalan menjadi pembunuh upahan?
Balistik yang menjalani penggambaran selama 35 hari termasuk ketika Ramadan mengetengahkan lokasi di sekitar Kuala Lumpur dan Klang.
Filem ini turut menggunakan khidmat pakar aksi lasak profesional dari Hong Kong.


0 comments:
Post a Comment