Home » » Kerajaan Kelantan Buat Lawatan Ke Brunei

Kerajaan Kelantan Buat Lawatan Ke Brunei

Written By online on Thursday, December 19, 2013 | 6:03 PM





MENTERI Besar Kelantan, Yang Amat Berhormat, Ustaz Dato' Haji Ahmad bin Yakob dan rombongan menerima keterangan dari Mufti Kerajaan Brunei, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr.Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned ketika membuat lawatan ke Jabatan Mufti Darulifta.





BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 19 Disember. - Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned dalam ucapannya berkata bersaudara kerana Allah itu sangat tinggi nilainya.

Ujar Yang Berhormat, saya melihat raja kami begitu ramah dan mesra dengan Dato-Dato, begitu juga di pihak Dato-Dato terhadap baginda.
“Dan amat mengharukan sekali apabila mendengar Yang Amat Berhormat Ustaz Dato Menteri Besar menyembahkan ucapan tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan di atas keputusan baginda melaksanakan Kanun Jenayah Syar’iah di negara ini,” ungkap Yang Berhormat.

Tegas Yang Berhormat, ini satu titik paling bersejarah dalam lawatan Dato-Dato ke negara ini sebagai pembakar semangat kami lagu untuk selalu istiqamah di dalam mendaulatkan syariat Islam.


Sementara itu dalam ucapan balas Menteri Besar Kelantan antara lain menyatakan Kelantan akan belajar dan memperhatikan serta mendapatkan maklumat yang lebih jelas mengenai pelaksanaan hukum Hudud sebagai undang-undang di Negara Brunei Darussalam.

Katanya, Kelantan juga berhasrat untuk melaksanakan hukum serupa tetapi masih menghadapi beberapa halangan walaupun undang-undang dan peraturan-peraturan telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri pada tahun 1993.

“Jika hukuman itu nanti dapat dilaksanakan di Kelantan ia setentunya akan dapat mengurangkan kadar jenayah kerana kadar jenayah di Kelantan semakin meningkat serta membimbangkan penduduk,” terangnya.

Menurutnya lagi, jika nanti Negara Brunei Darussalam dapat melaksanakan hukuman tersebut sepenuhnya ia secara tidak langsung dapat mengangkat keagungan Islam itu sendiri kerana dalam sejarah Islam hukuman itu telah lama berjalan tetapi tertinggal disebabkan perubahan zaman dan kemajuan dunia.

Antara aturcara lawatan pagi tadi termasuk mengadakan sesi perbincangan tertutup antara rombongan Menteri Besar Kelantan bersama Mufti Kerajaan dan Pegawai-Pegawai Kanan.

Selesai sesi perbincangan, rombongan Menteri Besar Kelantan dibawa melawat ke Balai Pameran Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BPIS) yang mempamerkan koleksi peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Rombongan Menteri Besar Kelantan terdiri dari 14 ahli dan berada di negara ini bagi lawatan lima hari.
Share this article :

0 comments:

Post a Comment

 
Support : Your Link | Your Link | Your Link
Copyright © 2013. Gossip Hot Artis Malaysia - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger